Tuesday 17 March 2015

Pemergianmu...





Assalammualaikum warahmatullah dan salam sejahtera. Apa khabar readers sekalian. Harap, semuanya dalam keadaan yang sihat belaka. Aku Cuma mahu menulis. Bukannya tanpa arah tujuan, tetapi sekadar untuk mencoret luahan hati.

Kini sudah genap 3 bulan semenjak peristiwa itu terjadi. Kata-kata arwah masih terngiang-ngiang di telinga, “Mahu balik sudahkah?” “Ya pakcik.” “Bila lagi cuti?” “Oh, lama lagi pakcik. Bulan 3 nanti baru habis. Kenapa pakcik?” “Oh tidak.” Wajah sendu arwah masih terbayang. 4 hari selepas tu iaitu pada hari pemergiannya, aku mula rasa pelik seperti ada yang tidak kena. Semua yang aku lakukan tidak menjadi. Dalam mindaku, adakah sesuatu yang buruk telah terjadi? Pada malam itu, aku dikejutkan dengan khabar yang mengejutkan berita tentang pemergian arwah buat selama-lamanya. Arwah yang bagiku sihat-sihat belaka, rupanya telah kembali ke rahmatullah. Pada mulanya, aku ingat itu hanya palsu belaka. Masih terbayang jasadnya yang aku andaikan sihat sentiasa. Namun begitu pemergiannya hanya mampu ditangisi. Bukan mahu menyalahkan takdir Allah, namun masih sukar untuk aku menerima tentang hakikat ini. Adakah kerana aku tidak sempat melihat arwah buat kali yang terakhir ataupun kerana aku hanya mampu melihat arwah selepas arwah dimandikan, aku pun tidak pasti. Setiap kali aku melihat wajah kedua-dua orang adikku, aku tidak mampu menyembunyikan kesedihanku. Aku hanya mampu memalingkan wajahku ke arah bertentangan. Tidak sanggup rasanya untuk berhadapan dengan mereka yang masih muda untuk mengenal apa itu erti kehilangan orang yang tersayang. Setiap kali aku melihat mereka, rasa sebak akan datang.
Kini, tiada lagi suara yang tegas dalam menegur anak-anaknya, tiada lagi gelak tawa yang menyerikan, tiada lagi kedengaran suara azan dan mengaji untuk menjadi halwa telinga, tiada lagi mekanik harapan, tiada lagi motivator di sisi, sungguh pemergianmu amat dirasai. Setiap kali terpandang bunga di halaman rumah, bayanganmu menghiasi minda, insan yang mencintai bunga. Tiada lagi insan yang aktif bersukan. Raket badminton itu membangkitkan memori tentang dirimu. Apabila melihat perkarangan rumah, masih terbayang dirimu sedang bermain badminton, dengan servis yang kencang. Dengan jumping smash. Sungguh aku tercari-cari basikal yang biasa ditunggangi. Apabila terdengar bicara tentang akhlakmu, air mata pasti akan mengalir. Bicara tentang dirimu, sungguh meruntun jiwa. Sungguh, wajah tenangmu sewaktu dikafankan masih ku ingati. Betapa aku mencemburui ketabahan kedua-dua orang adikku. Tiada air mata yang mengalir. Kalian begitu kuat menghadapi hidup, kalian bangkit dengan senyuman. Sungguh, kalian amat kuat.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, pemergianmu masih dirasai. Sungguh, hanya doa yang mampu ku titipkan buatmu. Kenangan masa lalu, akan ku sematkan sebagai sesuatu yang indah juga sebagai pengajaran paling berharga bagiku iaitu bahawa mati itu pasti dan hanya amal ibadah sahaja yang mampu membantu di hari perhitungan kelak. SEmoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman.

Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...