Assalammualaikum warahmatullah dan salam
sejahtera. Apa khabar readers sekalian. Harap, semuanya dalam keadaan yang
sihat belaka. Aku Cuma mahu menulis. Bukannya tanpa arah tujuan, tetapi sekadar
untuk mencoret luahan hati.
Kini, tiada lagi suara yang tegas dalam
menegur anak-anaknya, tiada lagi gelak tawa yang menyerikan, tiada lagi
kedengaran suara azan dan mengaji untuk menjadi halwa telinga, tiada lagi
mekanik harapan, tiada lagi motivator di sisi, sungguh pemergianmu amat
dirasai. Setiap kali terpandang bunga di halaman rumah, bayanganmu menghiasi
minda, insan yang mencintai bunga. Tiada lagi insan yang aktif bersukan. Raket
badminton itu membangkitkan memori tentang dirimu. Apabila melihat perkarangan
rumah, masih terbayang dirimu sedang bermain badminton, dengan servis yang
kencang. Dengan jumping smash. Sungguh aku tercari-cari basikal yang biasa
ditunggangi. Apabila terdengar bicara tentang akhlakmu, air mata pasti akan
mengalir. Bicara tentang dirimu, sungguh meruntun jiwa. Sungguh, wajah tenangmu
sewaktu dikafankan masih ku ingati. Betapa aku mencemburui ketabahan kedua-dua
orang adikku. Tiada air mata yang mengalir. Kalian begitu kuat menghadapi
hidup, kalian bangkit dengan senyuman. Sungguh, kalian amat kuat.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu,
bulan berganti bulan, pemergianmu masih dirasai. Sungguh, hanya doa yang mampu
ku titipkan buatmu. Kenangan masa lalu, akan ku sematkan sebagai sesuatu yang
indah juga sebagai pengajaran paling berharga bagiku iaitu bahawa mati itu
pasti dan hanya amal ibadah sahaja yang mampu membantu di hari perhitungan
kelak. SEmoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang
beriman.
Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment